PUTRAJAYA 21 Jun – Kementerian Pelancongan mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat peruntukan RM1.8 juta kementerian itu bagi kempen promosi dan penjenamaan menerusi media sosial.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini berkata, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Ong Hong Peng, atas arahan beliau, menghubungi SPRM semalam untuk mempelawanya menjalankan siasatan ke atas perbelanjaan kempen itu.
"Sila datang dan periksa. Tiada apa yang nak disembunyikan. Kami benar-benar telus. Bagi pihak kami, kami sentiasa lurus,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku bergambar bertajuk “Pullman Putrajaya Lakeside: The Jewel in the Crown of Putrajaya”.
Yen Yen berkata, beliau kecewa dan terluka dengan dakwaan yang dilemparkan terhadap peruntukan RM1.8 juta itu di mana pembangkang dilihat cuba meyakinkan orang ramai bahawa ia semata-mata digunakan bagi mewujudkan satu Facebook.
Katanya peruntukan itu bagi menjalankan, menguruskan dan memantau kempen pelancongan dalam media sosial, termasuk RM360,000 bagi pengiklanan dan lebih RM500,000 bagi hadiah-hadiah untuk pertandingan yang dianjurkan.
Yen Yen berkata, beliau komited untuk mempelbagaikan saluran bagi promosi pelancongan daripada hanya bergantung pada media tradisional iaitu media cetak dan elektronik.
"Terdapat 700 juta orang aktif dalam media sosial, dan jika anda tidak percaya bahawa media sosial boleh meningkatkan pemasaran dengan itu anda tidak tergolong dalam masyarakat masa kini,” katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment